Murid Nenggiri Terima Baucar Sekolah

Back to Blog

Murid Nenggiri Terima Baucar Sekolah

Pada 13 Februari 2025, seramai 280 murid di kawasan Nenggiri telah menerima baucar kelengkapan sekolah hasil inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh salah satu penyumbang iaitu Felcra Processing & Engineering Sdn Bhd (FPESB).

Program ini bertujuan meringankan beban keluarga berpendapatan rendah dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka pada tahun 2025.

Majlis penyerahan baucar kepada pelajar tersebut telah diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Nenggiri, dengan disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah FPESB merangkap Adun Nenggiri, YB. Tuan Mohd Azmawi Fikri bin Haji Abdul Ghani.

Dalam temubual bersama media, beliau menekankan komitmen FPESB dalam menyokong pendidikan dan pembangunan komuniti setempat.

Para penerima baucar ini terdiri daripada murid-murid sekolah rendah dan menengah yang dikenal pasti melalui kerjasama dengan pihak sekolah dan pemimpin masyarakat tempatan.

Baucar tersebut boleh digunakan untuk membeli pelbagai kelengkapan sekolah seperti pakaian seragam, kasut, beg, dan alat tulis di kedai-kedai yang terpilih.

Ibu bapa dan penjaga murid-murid yang menerima sumbangan ini meluahkan rasa syukur dan berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh FPESB.

Mereka menyatakan bahawa inisiatif ini amat membantu dalam mengurangkan beban kewangan terutama menjelang sesi persekolahan baharu.

Back to Blog