RM3.5j Diperuntukan Untuk Bangunkan Santan Suri
Teluk Intan – Felcra Berhad melalui anak syarikatnya Felcra Processing & Engineering Sdn Bhd (FPESB) membangunkan kilang baharu memproses santan sawit jenama Suri dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM3.5 juta untuk memperkasakan lagi industri santan sawit.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kilang pengeluaran secara komersial itu mampu menghasilkan 60 tan metrik santan sawit sebulan.
Beliau berkata, pengeluaran santan sawit oleh Felcra ini juga sebagai alternatif kepada santan kelapa yang merupakan idea strategik kerana ia dapat mempelbagaikan pilihan kepada pengguna selain mempunyai khasiat tersendiri.
“Memandangkan permintaan tinggi terhadap santan sawit, Felcra mengambil keputusan membuat pelaburan bagi membina kilang baharu ini dengan peningkatan kapasiti pengeluaran sekali ganda berbanding kilang lama.
“Ini merupakan salah satu usaha Felcra perkenalkan santan kelapa sawit untuk dipasarkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kompleks Industri Felcra Processing & Engineering Sdn Bhd di Changkat Jong, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria; Pengerusi FPESB, Datuk Abdul Shukur Idrus dan Ketua Pegawai Eksekutif FPESB, Wan Ramlan Wan Abdullah.
Mahdzir berkata, pembinaan kilang pengeluaran santan sawit itu juga sebahagian daripada inisiatif Felcra Berhad dalam membantu pelan jaminan keselamatan makanan negara.
Jelasnya, sebanyak RM3 juta geran disediakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi membina kilang tersebut manakala baki kosnya menggunakan sumber dalaman FPESB.
“Sebelum ini kita mempunyai kilang memproses santan sawit secara manual sahaja sebagai kilang perintis yang beroperasi sejak 2012. Pembinaan kilang baharu ini dengan kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi dan beroperasi secara automatik.
“Saya yakin kilang baharu ini akan meningkatkan pengeluaran dan bekalan santan sawit di pasaran, sekali gus mampu memenuhi permintaan santan sawit yang meningkat melebihi 100 peratus,” katanya.
Kilang yang berkeluasan 4,000 kaki persegi itu telah beroperasi sepenuhnya menggunakan sistem automatik pada Selasa dengan keupayaan memproses 60 metrik tan santan sawit per bulan atau 2.8 metrik tan sehari.
Beliau turut meluangkan masa melihat proses penyediaan santan sawit, melawat kiosk dan menyaksikan demonstrasi masakan menggunakan santan sawit.