Santan Sawit Dapat Permintaan Dunia
Teluk Intan – Penggunaan santan sawit sebagai alternatif kepada santan kelapa mendapat permintaan tinggi, sekali gus membantu pelan jaminan keselamatan makanan negara.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata FELCRA Berhad melalui anak syarikatnya, FELCRA Processing & Engineering Sdn Bhd (FPESB) membangunkan sebuah kilang memproses santan sawit jenama Suri.
Katanya, kilang pengeluaran secara komersial membabitkan kos RM3.5 juta itu mampu menghasilkan 60 tan metrik santan sebulan.
“Memandangkan permintaan tinggi terhadap santan sawit, mereka mengambil keputusan untuk membuat pelaburan bagi membina kilang baharu dengan peningkatan kapasiti pengeluaran sekali ganda, berbanding kilang lama.
“Pengeluaran santan sawit juga sebagai alternatif kepada santan kelapa yang dapat mempelbagaikan pilihan kepada pengguna,” katanya pada majlis perasmian Kompleks Industri FELCRA Processing & Engineering Sdn Bhd di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FELCRA Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.
Mahdzir berkata, setakat ini produk santan sawit mempunyai lima pengedar utama dan dipasarkan di 40 lokasi pasar raya dan peniaga di sekitar Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Pahang.
“Saya yakin kilang baharu ini akan meningkatkan pengeluaran dan bekalan santan sawit di pasaran sekali gus akan memenuhi keperluan permintaan terhadap santan sawit yang meningkat melebihi 100 peratus,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, KPLB menyediakan geran berjumlah RM3 juta menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi membina kilang itu, manakala selebihnya menggunakan sumber dalaman FPESB.
“Sebelum ini kita sudah ada sebuah kilang bagi memproses minyak kelapa sawit menjadi santan sawit secara manual saja sebagai kilang perintis yang beroperasi sejak 2012.
“Tetapi, sekarang kita bina kilang baharu dengan kapasiti pengeluaran lebih tinggi dan operasi kilang adalah automatik sepenuhnya,” katanya.