Rancang Pasarkan Ke Luar Negara
Kuala Lumpur – Produk santan sawit jenama Suri yang ditambah baik ke dalam bentuk kotak dirancang untuk dipasarkan ke luar negara.
Pengerusi FELCRA Processing & Engineering Sdn Bhd (FPESB), Datuk Abdul Shukur Idrus menegaskan, produk itu boleh di eksport ke pasaran antarabangsa kerana kandungannya ‘tanpa’ kolesterol diyakini akan menjadi pilihan utama pengguna yang mencari produk sihat.
“Di samping mengeluarkan produk untuk menjana keuntungan kepada syarikat, kita mahu berkhidmat kepada masyarakat dengan melahirkan usahawan santan sawit yang disasarkan kepada generasi ketiga FELCRA.
“Untuk permulaan, seramai 100 usahawan bakal dilahirkan dengan cara memberi bantuan permulaan bernilai RM20,000 merangkumi kiosk jualan, bahan mentah dan modal pusingan.
“Kita mahu lahirkan usahawan berasaskan produk hiliran santan sawit sepertimana usahawan cendol, kuih muih, nasi lemak dan lauk pauk,” jelasnya.
Beliau berkata, rancangan itu akan dibincangkan dengan pihak pengurusan FPESB, FELCRA Berhad dan menteri termasuk dari segi pemberian bantuan modal dengan kadar faedah yang rendah kepada usahawan.
Jelasnya, jika pihak KPLB meluluskan dan bersedia memberi geran, sasaran untuk melahirkan 100 usahawan santan sawit bakal dicapai hujung tahun ini.
Selain itu katanya, hasil kajian yang dilakukan oleh FPESB telah berjaya mencipta peralatan seperti kipas, lampu rumah dan lampu jalan tanpa menggunakan elektrik sebaliknya menggunakan tenaga solar.
Ujar beliau, produk itu akan turut dipamerkan sempena majlis perasmian pembukaan kilang baharu ini dan ia akan dipasarkan dalam masa terdekat.
“Kita juga dalam proses membina kilang baja hasil daripada bahan buangan sawit kerana daripada kajian yang dibuat, ia merupakan baja organik terbaik.
“Ia juga akan dibina di Kompleks Industri Bidor dengan jangkaan pelaburan sebanyak RM5 juta. Saya harap projek ini mendapat bantuan geran daripada kerajaan,” tambahnya.