“Terima Kasih KPLB..” – FPESB
Kuala lumpur – FELCRA Processing & Engineering Sdn Bhd (FPESB) berterima kasih kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi penyaluran peruntukan geran hingga kilang baharu santan sawit jenama Suri kini telah mula beroperasi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Ramlan Wan Abdullah berkata, dengan adanya kilang baharu itu pihaknya menyasarkan peningkatan pengeluaran santan sawit kepada kadar 60 metrik tan sebulan.
“Sebelum ini kilang sedia ada yang beroperasi sejak Oktober 2012 hanya mampu mengeluarkan 30 metrik tan santan sawit sebulan.
“Selepas tujuh tahun di pasaran, permintaan yang diterima terhadap santan sawit itu cukup tinggi. Jadi, pada 2019 kami bersetuju untuk bina satu lagi kilang,” katanya pada wawancara eksklusif di Pejabat FPESB, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Wan Ramlan berkata, FPESB ketika ini sedang giat melakukan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi santan sawit Suri agar ia boleh dijual dalam kotak ‘tetra pack’ dan disimpan dalam suhu bilik sebagaimana produk santan kelapa di pasaran sekarang.
Jelas beliau, setakat ini pembungkusan santan Suri masih di dalam plastik dan perlu disimpan di dalam ‘chiller’ atau peti penyejuk.
“Ini antara sebab kita perlukan bantuan geran daripada kerajaan untuk projek R&D ini yang dianggar melibatkan kos besar kira-kira RM20 juta termasuk untuk pemasangan mesin dan pemasaran.
“Melalui bantuan geran, kita sasarkan projek R&D ini dapat disiapkan paling cepat akhir tahun ini manakala tahun depan produk santan sawit Suri boleh dikeluarkan dalam bentuk kotak,” ujarnya.
Katanya, usaha yang dilakukan itu bertujuan meningkatkan pendapatan FPESB seiring dengan hasrat mereka untuk menjadi anak syarikat utama yang menyumbang pendapatan kepada FELCRA Berhad.